WANITA: MENUTUP AURAT DAN SAHKAH SEMBAHYANGKU?

Posted: April 14, 2013 in My Dokument

Menurut Imam Asy-Syirazi Rahimahullah dalam kitab Al-Muhazzab, adalah disunatkan bagi perempuan yang merdeka dan ‘khuntsa’ bersembahyang dengan memakai pakaian yang labuh, panjang dan menutupi seluruh badan hingga kedua kaki, memakai penutup kepala dan leher dari kain yang tebal dan menggunakan telekung (satu kain tebal yang lain).

 

 
 
 
 
 
gambar hiasan – Sembahyang berjemaah
 
 
Disunatkan juga telekung atau pakaian yang di sebelah luar itu tebal, agar tidak membayangkan anggota. Telekung atau pakaian yang di sebelah luar itu dijauhkan atau direnggangkan dari badan seseorang perempuan itu apabila ruku‘ atau sujud, supaya tidak membayangkan pakaian di sebelah dalam. Khatib asy-Syarbini dalam kitab Mughni al-Muhtaj mensyaratkan pakaian (satir) yang digunakan untuk menutup aurat sama ada dalam sembahyang atau luar sembahyang ialah tebal yang boleh menutup anggota aurat. Bahkan ia hendaklah melindungi atau menutup warna kulit daripada dilihat dengan pandangan biasa. Dengan perkataan lain tidak menampakkan atau membayangkan bentuk badan.  Imam Syafi‘e pula mensyaratkan pakaian hendaklah menutup dan menyelubungi seluruh anggota aurat.
 
 
Aurat Wanita Di Dalam Sembahyang
 
1. Bagi Mazhab Syafie, aurat wanita di dalam sembahyang ialah wajib menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan. Tiada terkecuali biar pun sembahyang seorang diri atau di tempat gelap atau pun di dalam khemah.
 
2. Makruh menutup muka seperti memakai purdah yang menampakkan kawasan mata dan dahi mengikut sepakat kebanyakan ulamak. Namun satu pendapat di dalam Kifayatul Akhyar, membolehkan memakai purdah seperti yang disebutkan itu bagi mengelakkan pandangan liar lelaki ajnabi di dalam masjid.
3. Batas aurat itu adalah ditutup daripada pandangan sebelah atasnya dan daripada kelilingnya. Tiada pada pandangan daripada bawahnya. Jika dia sujud maka tapak kakinya perlu ditutup dengan pakaian dan tidak boleh terbuka berdasarkan pandangan sekeliling.
 
Berdasarkan syarat-syarat di atas, berikut adalah beberapa contoh-contoh pakaian yang tidak memenuhi syarat-syarat di atas:
1. Pakaian yang berlubang-lubang
Aurat yang boleh dilihat melalui pakaian yang ‘berlubang-lubang’ seperti pakaian yang ditenun dengan jarang, walaupun tebal tetapi masih tidak memenuhi syarat ‘satir’ iaitu menyelubungi dan menutupi keseluruhan aurat.
 
2. Pakaian jarang atau nipis
Maksud yang pakaian yang jarang atau nipis ialah pakaian yang boleh menampakkan warna kulit apabila dipakai. Dengan demikian adalah jelas tidak tercapai maksud ‘as-satir’:
 
(i) Sekiranya di dalam sembahyang pakaian yang nipis atau jarang untuk menutup keseluruhan auratnya tanpa dilapis dengan pakaian lain seperti telekung dan seumpamanya, maka pakaian itu tidak memenuhi syarat ‘satir’ kerana tidak tercapai maksud dan pengertian tebal dan tidak pula menyembunyikan warna kulit.
Ini disandarkan kepada hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Mafhumnya: “Dari ‘Aisyah Radiallahu ‘anha sesungguhnya Asma’ binti Abi Bakar telah berkunjung kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan dia memakai pakaian yang nipis. Lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berpaling daripadanya. Baginda bersabda: “Wahai Asma’ sesungguhnya orang perempuan apabila meningkat umur haidh (umur baligh), tidak boleh dilihat padanya kecuali ini… dan ini… Lalu Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pun menunjukkan muka dan kedua-dua tapak tangan Baginda.
(Hadis riwayat Abu Daud).
 
As-Sayyid al-Bakri kemudian menyebutkan sesuatu kain atau pakaian meski pun berwarna atau yang dicelup jika ianya jarang dan nipis juga tidak memenuhi syarat as-satir.
 
 
(ii) Begitu juga sekiranya di dalam sembahyang dengan memakai pakaian yang jarang atau nipis untuk menutup keseluruhan auratnya kemudian dia menutup atau melapis lagi pakaian tadi dengan telekung atau yang seumpamanya dan warna kulit masih kelihatan, maka samalah juga hukumnya seperti (i) di atas.
 
 
Selain daripada jenis-jenis pakaian yang telah disebutkan di atas, harus bagi golongan wanita bersembahyang dengan memakai pakaian sutera atau menjadikannya alas atau lapik sembahyang) ketika mengerjakan sembahyang. Manakala memakai pakaian yang mempunyai gambar atau menjadikannya alas sembahyang atau menghadap ke arahnya maka hukumnya adalah makruh.
 
3. Sembahyang Di Dalam Kegelapan
Menurut Ibnu Hajar al-Haitami, kegelapan tidak boleh diertikan sebagai ‘satir’. Oleh yang demikian, adalah tidak sah sembahyang seseorang yang tidak menutup aurat sekalipun dalam gelap.
 
4. Nampak Aurat Sendiri Semasa Bersembahyang
Ketika hendak mengerjakan maka terlihat aurat sendiri atau juga dilihat oleh orang lain semasa sedang sembahyang kerana kecuaian menutupnya, maka hukum sembahyangnya adalah tidak sah. Sekalipun dengan memakai telekung, sedangkan di bahagian leher terbuka luas atau besar sehingga diri sendiri boleh nampak auratnya atau dilihat oleh orang lain ketika dia rukuk atau sujud, maka batallah sembahyangnya. Oleh itu hendaklah dirapikan, dikancing atau diikat terlebih dahulu dengan sempurna di bahagian leher yang terbuka tadi serta ‘pastikan dagu’ ditutup rapi sebelum mengerjakan sembahyang.
 
 
Sekiranya mendapati pakaian yang dipakai untuk bersembahyang itu berlubang atau koyak yang menampakkan auratnya, maka wajiblah diulangi atau dimulai semula sembahyang yang sedang dikerjakan, sama ada mengetahui tentang koyaknya kemudian dia terlupa mengenainya ataupun langsung tidak mengetahuinya. Akan tetapi jika dia menyangka bahawa koyak itu terjadi selepas memberi salam, maka tidak perlulah diulangi sembahyang yang telah dilakukan tanpa khilaf.
 
5. Syarat aurat itu juga meliputi kain yang dipakai hendaklah tidak nipis sehingga menampakkan warna kulit atau warna rambut.

 

6. Aurat yang terbuka kerana ditiup angin tidak membatalkan solat yang didirikan dengan syarat ditutup dengan segera bahagian terbuka itu tidak melebihi kadar waktu melafazkan ‘Subhanaallah’. (Sama juga halnya ketika sedang sujud, kemudian terasa atau didapati tapak kaki terbuka maka hendaklah ditutup segera dengan tidak melebihi kadar waktu melafazkan ‘Subhanallah’ dan teruskan sehingga sempurna solat yang didirikan. Sekiranya terbuka atau terselak juga (maknanya kain itu pendek tidak dapat menutupi   aurat) kemudian solat diteruskan  juga, maka solat yang dikerjakan itu tidak sah kerana aurat tidak ditutup (terbuka). Oleh itu hendaklah diulangi semula solat tersebut, Pastikan setiap solat yang didirikan adalah sah, dengan mengikut syarat-syarat sah solat. Oleh yang demikian, sebelum mendirikan solat pastikan kain perlulah labuh sedikit supaya aurat tidak mudah terbuka, atau pakailah sarung kaki atau ‘stokin’   . Dengan itu solat yang didirikan akan dibina atas dasar mengikut sebagaimana yang diperintah oleh Allah SWT iaitu menutup aurat diikuti dengan rasa ‘khusyuk’ dan ‘tawadhuk’ kerana sedang ‘bercakap dan membuat perakuan’, ‘berdoa’ dan ‘bermunajat’ di hadapan Allah SWT. Mudah-mudahan setiap kali solat yang sah itu akan diterima oleh Allah SWT.  Wallahua’lam). 
 
 
7. Bahagian dagu. Seringkali dilihat ada wanita mungkin masih ‘tidak memahami’ sampai manakah bahagian aurat mereka, iaitu berkenaan dengan ‘dagu’. Pertama sekali, perlu diketahui mengenai persoalan bahagian manakah yang dikatakan aurat perempuan. Aurat perempuan tidak sama sebagaimana urat lelaki. Bagi perempuan bahagian auratnya ialah selain bahagian muka dan tapak tangan (Sila rujuk maksud hadis Rasulullah SAW di atas).

 
 
Syara’ tidak menaskan secara terang mengenai dagu, akan tetapi telah menaskan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah hukum berkaitan dengan muka. Persoalannya adakah dagu termasuk di dalam bahagian muka? Mengikut dari segi bahasa bahagian muka ialah daripada hujung dahi sehingga ke dagu iaitu yang dapat dilihat ketika berhadapan antara satu sama lain. Mengikut sahih athar oleh Nawawi dalam Majmuk 7/268 bermaksud dagu itu adalah sebahagian daripada muka sepertimana yang disebut oleh Ibn Umar “Bahagian atas daripada dagu termasuk dalam anggota kepala”. Imam Syafie dengan ilmu lughah menaskan di dalam ‘al-Umm’ 7/242 mengatakan bahawa dagu adalah sebahagian daripada muka. Para ulamak di dalam ‘Musu’ah Fiqhiyyah’ sepakat mengatakan dagu adalah sebahagian daripada muka. “Maka kesimpulannya ialah bahagian bawah daripada tulang dagu adalah aurat”.

 
 
Kebanyakan telekung masakini didapati tidak ada penutup dagu (orang jawa panggil ‘kekek’) yang sempurna. Oleh kerana bawah dagu perlu ditutup dengan rapi dan ‘sempurna’, maka dinasihatkan agar membuat bahagian ‘kekek’ sendiri supaya apabila dipakai ianya akan menutupi bawah dagu hingga melepasi tulang dagu. Jika tidak melepasi tulang dagu maka solatnya tidak sah. Apatah lagi jika sedang di dalam Ihram Haji atau Ihram Umrah. Melakukan ‘Tawaf’ Haji’ atau ‘Tawaf Umrah’ dengan tidak menutup aurat maka tawafnya adalah tidak sah. Apabila tawaf tidak sah, kita masih belum boleh melakukan saie kerana masih belum menyempurnakan tawaf. Dikhuatiri  dengan beranggapan bahawa tawaf telah sempurna, maka pergilah pula melakukan saie dan bercukur. Maka tidak sah segala-galanya kerana tawaf belum dilakukan dengan sempurna (salah satu syarat sah tawaf ialah menutup aurat). Di samping itu juga ‘dam’ dikenakan kerana tawaf belum sempurna tetapi telah melakukan saie dan bercukur pula – sila rujuk Ustaz atau Ustazah di tempat anda. Oleh itu, sebelum bertawaf pastikan ‘dagu’ puan-puan telah ditutup dengan rapi dan sempurna dan pastikan bahagian bawah dagu sentiasa tertutup supaya tawaf yang dikerjakan adalah sah. Setiap kali mengerjakan tawaf, puan-puan hendaklah yakin bahawa setiap tawaf yang dilakukan itu adalah sempurna dan sah.
 
 
 
 
Jika tawaf tidak sah maka diri masih lagi di dalam keadaan ber’ihram’. Begitu banyak perkara-perkara yang dilarang atau pantang larang semasa di dalam ihram. Dikhuatiri terus pulang ke tanah air kerana beranggapan semua syarat sahHaji mahu pun Umrah telah dilakukan, namun masih lagi berstatus di dalam ‘berihram’. Oleh itu puan-puan, marilah, ayuhlah, tanyalah ustazah di tempat puan-puan dengan segera, sekarang juga cara menutup dagu yang betul, bukan sekadar bertanya, tetapi hendaklah diikuti dengan praktikalnya.
 
Terbuka Aurat Secara Tiba-Tiba
Berbeza hukumnya dengan aurat yang terbuka secara tiba-tiba dan tidak disengajakan, maka sembahyangnya tetap sah dengan syarat hendaklah ditutup dengan segera. Yang dimaksudkan dengan tidak sengaja ialah seperti ditiup angin atau terbuka disebabkan oleh haiwan atau kanak-kanak yang belum mumayyiz kerana mereka tidak mempunyai niat atau maksud di sebalik perbuatan itu. Sebaliknya jika aurat itu terbuka disebabkan oleh kanak-kanak yang sudah mumayyiz, maka batallah sembahyangnya.
 
Kesimpulan
Adalah menjadi kebiasaan memakai telekung putih ketika sembahyang dan ini menepati ciri-ciri yang digambarkan sebagai pakaian yang sempurna dan digalakkan di dalam Islam. Di samping itu perlu menjaga kebersihan pakaian yang dipakai dan tempat bersembahyang daripada najis merupakan di antara syarat sah sembahyang. Maka hendaklah kita mengambil perhatian yang sewajarnya dan meneliti dengan sesempurnanya mengenai perkara-perkara yang bersangkutan dengan syarat sah sembahyang agar ibadat yang dilaksanakan akan diterima oleh Allah Subhanahu Wa Ta‘ala.
 

Wallahua’lam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s